Menurut sejarah, pengasas atau Bapa
Pendidikan Alam Sekitar ialah Sir Patrick Geddes (1854-1933) manakala
orang yang pertama menggunakan nama istilah Pendidikan Alam Sekitar
ialah Thomas Pritchard semasa persidangan IUCN di Paris dalam tahun
1958. Beberapa persidangan di peringkat antarabangsa seperti
Persidangan Stockholm (1972), Tbilisi (1977), The Belgrade Charter
(1975), Malta (1991), Agenda 21 (1992) sehinggalah terhasilnya Laporan
Kabinet (1979) di Malaysia. Ini merupakan faktor pencetus kepada arena
perbincangan tentang alam sekitar dunia serta peranan Pendidikan Alam
Sekitar dalam memastikan keseimbangan alam sekitar.
Ekoran daripada Persidangan Stockholm
serta beberapa persidangan lain ini akhirnya telah berjaya merangka
suatu garis panduan, prinsip, matlamat dan juga objektif Program
Pendidikan Alam Sekitar. Persidangan Stockholm telah diadakan pada 5-16
Jun, 1972 di Stockholm, Sweden dengan tema “Prinsip dan Alam Sekitar Manusia” (Human Environment and Principles) dan dianjurkan oleh United Nations.
Tujuan persidangan ini adalah untuk mencapai satu keputusan tentang
pendekatan global yang diperlukan bagi mencari penyelesaian terhadap
situasi kemerosotan alam sekitar yang semakin hari semakin bertambah.
Persidangan Tbilisi pada tahun 1977 merupakan persidangan Pendidikan Alam Sekitar yang pertama di dunia dan melibatkan ramai pemerintah atau kerajaan di seluruh dunia. Persidangan ini dikendalikan oleh United Nations Education, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dengan kerjasama U.N. Environment Programme (UNEP) dan diadakan di Tbilisi, Georgia (USSR) pada 14-26 Oktober 1977. Persidangan ini telah dihadiri oleh 265 delegasi dan 65 pembentang serta pemerhati termasuk 3 organisasi antara kerajaan dan 20 organisasi bukan kerajaan antarabangsa.
Dalam persidangan ini, garis panduan, matlamat, serta objektif Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum dan latihan dalam dan pra-perkhidmatan bagi guru-guru telah diputuskan. Kesinambungan dengan itu, satu Seminar Latihan Alam Sekitar telah diadakan di Malta pada
tahun 1991 di bawah anjuran UNESCO. Seminar ini mengesyorkan bahawa
matlamat utama Pendidikan Alam Sekitar adalah untuk membantu masyarakat
sarwajagat menyedari dan memahami isu-isu alam sekitar di samping dapat
menguasai kemahiran dan kesungguhan dalam usaha mengatasi isu-isu alam
sekitar serta dalam masa yang sama dapat mengekalkan kualiti alam
sekitar dan secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan
manusia.
Di Malaysia, Jawatankuasa Kabinet
telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan
Kebangsaan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya
matlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan
berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi
pembangunan negara. Hasil Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan
dalam tahun 1979 memutuskan pelaksanaan Pendidikan Alam Sekitar merentas
kurikulum dalam struktur Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
KBSR mula menerapkan Pendidikan Alam
Sekitar merentas kurikulum bermula dengan subjek Alam & Manusia bagi
pelajar tahun 4 hingga 6. Penerapan Pendidikan Alam Sekitar merentas
kurikulum juga dilakukan dalam subjek lain seperti Matematik, Muzik,
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Agama Islam. Sehubungan dengan itu
juga pihak Pusat Perkembangan Kurikulum telah membina satu garis panduan
untuk guru-guru dengan mengeluarkan satu buku bertajuk “Buku Panduan
Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum KBSR” pada tahun 1998.
Matlamat Pendidikan Alam Sekitar
Semasa Deklarasi Tblisi 1977,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bersetuju menetapkan matlamat,
objektif dan prinsip Pendidikan Alam Sekitar bagi negara-negara di
seluruh dunia. Matlamat Pendidikan Alam Sekitar ialah untuk:
(i) Menggalakkan kesedaran dan
keprihatinan terhadap ekonomi, sosial, politik, and saling bergantungan
ekologikal di bandar dan luar bandar.
(ii) Menyediakan peluang kepada semua
orang untuk memperoleh pengetahuan, nilai, sikap, komitmen dan kemahiran
untuk melindungi dan memperbaiki alam sekitar.
(iii) Menghasilkan corak tingkah laku baru terhadap alam sekitar dalam kalangan individu, kumpulan dan masyarakat seluruhnya.
Menurut UNESCO (1976), matlamat utama Pendidikan Alam Sekitar adalah seperti kenyataan berikut.
“…. to develop a world population that is aware of and concerned about environment and its associated problems and which has the knowledge, skills, attitudes, motivation and commitment to work individually and collectively towards the solution of its current problem and prevention of new ones.”
(UNESCO, 1976)
Objektif Pendidikan Alam Sekitar
Persidangan Tbilisi 1977 juga telah menetapkan lima objektif Pendidikan
Alam Sekitar seperti berikut:
(i) Kesedaran - untuk membantu
kumpulan sosial dan individu memperoleh kesedaran dan sensitiviti
terhadap alam sekitarseluruhnya dan permasalahan alam sekitar.
(ii) Pengetahua - untuk membantu
kumpulan sosial dan individu memperoleh pelbagai jenis pengalaman dan
kefahaman asas terhadap alam sekitar dan permasalahan alam sekitar.
(iii) Sikap - untuk membantu kumpulan
sosial dan individu memperoleh satu set nilai dan perasaan keprihatinan
terhadap alam sekitar dan motivasi untuk aktif terlibat dalam
pemeliharaan dan pembaikan alam sekitar.
(iv) Kemahiran: untuk membantu kumpulan sosial dan individu
memperoleh kemahiran untuk mengenal pasti dan
menyelesaikan masalah alam sekitar.
(v) Penglibatan - untuk menyediakan
peluang kepada kumpulan sosial dan individu terlibat secara aktif pada
semua peringkat bagi menghasilkan resolusi terhadap masalah alam
sekitar.
Menurut Muthoka (1985), objektif utama
Pendidikan Alam Sekitar adalah untuk memperbaiki kesedaran,
membangkitkan prihatin yang berupaya membawa kepada perubahan komitmen
dan mengambil tindakan. Pendidikan Alam Sekitar merupakan satu proses
pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal untuk mengubahsuai
kefahaman dan sikap manusia agar lebih prihatin terhadap alam yang telah
banyak berjasa kepadanya (Abdul Manaf Muda, 1993).
Semasa Persidangan Tbilisi 1977 juga terdapat 12 prinsip Pendidikan Alam Sekitar telah ditetapkan iaitu:
(i) Mengambil kira keseluruhan alam
sekitar termasuklah alam sekitar semula jadi dan buatan, teknologi dan
sosial seperti ekonomi, politik, sejarah, budaya, etika dan estetika.
(ii) Menjadi satu proses sepanjang
hayat, bermula dari peringkat prasekolah dan disambung sehingga
peringkat pendidikan formal dan bukan formal.
(iii) Menggunakan pendekatan merentas
kurikulum dengan menerapkan nilai-nilai alam sekitar kepada mata
pelajaran khusus setiap disiplin dalam bentuk perspektif yang holistik
dan seimbang.
(iv) Menilai isu-isu utama alam sekitar dari pandangan tempatan, nasional dan antarabangsa.
(v) Memfokuskan kepada potensi situasi alam sekitar terkini dengan mengambil kira perspektif sejarah.
(vi) Mempromosikan nilai dan keperluan
berasaskan tempatan, nasional dan kerjasama antarabangsa dalam mencegah
dan menyelesaikan masalah alam sekitar.
(vii) Mengambilkira dengan terperinci setiap aspek alam sekitar
dalam plan pertumbuhan dan pembangunan.
(viii) Membolehkan pelajar berperanan
dalam merancang pengalaman pembelajaran dan mendapat peluang untuk
membuat dan menerima keputusan bersama.
(ix) Menghubungkait sensitiviti alam
sekitar, pengetahuan, kemahiran penyelesaian masalah dan nilai yang
jelas kepada semua peringkat umur dengan memberi penekanan khusus
terhadap sensitiviti alam sekitar.
(x) Membantu pelajar meneroka simptom dan penyebab bagi masalah sebenar alam sekitar.
(xi) Menekankan kompleksiti masalah
alam sekitar dan keperluan untuk membina pemikiran kritikal dan
kemahiran penyelesaian masalah.
(xii) Menggunakan pembelajaran alam
sekitar secara pelbagai dan pendekatan pendidikan yang meluas bagi
mengajar, belajar tentang dan dari alam sekitar dengan menekankan kepada
aktiviti praktikal dan pengalaman sebenar.by : dwi ayu wijayanti
Tidak ada komentar:
Posting Komentar